Monday, 26 September 2016

Bab 3 ( Pencarian Sumber Maklumat )

Pencarian Sumber Maklumat


Maklumat yang tepat menjamin ketepatan keputusan dan keberkesanan tindakan. Tanpa maklumat tertentu sesetengah keputusan tidak dapat dibuat atau sekiranya dibuat, boleh membawa akibat yang buruk dan mengaibkan.
Dalam dunia yang semakin berasaskan maklumat dan mengalami kebanjiran maklumat, kita harus bijak mencari jalan bagi mendapat maklumat yang tepat dan menggunakannya dengan berkesan.
Kemahiran mencari maklumat adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Tetapi kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada kedudukan ekonomi dan tempat di mana kita berada.
Ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui dan difahami untuk melengkapkan diri sebagai pencari maklumat yang mahir dan aktif.
Pertama sekali adalah mengetahui dorongan / sebab mencari maklumat, diikuti dengan memahami sikap manusia apabila berdepan dengan maklumat. Setiap orang mempunyai dorongan yang berbeza semasa mencari maklumat. Ada yang memerlukannya untuk tujuan ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain. Dorongan yang berbeza ini membentuk persepsi dan motivasi yang berbeza pula semasa berdepan dengan maklumat.
Manakala sikap atau psikologi manusia itu turut mempengaruhi kemahiran mereka dalam mencari maklumat. Terdapat berbagai teknik untuk menganalisa sikap manusia semasa berhubungan dengan dunia maklumat.
Salah satu teknik itu menunjukkan ada orang yang mencari maklumat sekadar di permukaan, ada yang mencari secara mendalam dan ada pula yang bersifat meneroka sejauh yang mungkin secara rawak.
Memahami keperluan maklumat diri dan cara diri kita mencari maklumat adalah satu bentuk pemahaman di peringkat meta yang membolehkan kita menguasai kemahiran maklumat pada tahap yang lebih baik.
Selain itu, kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada sejauh mana seseorang itu tahu tentang bentuk dan sumber maklumat.
Maklumat boleh wujud dalam bentuk artifak, lukisan, imej, ensiklopedia, indeks, abstrak, buku tahunan, almanak, jurnal, buku, majalah, cakera padat, mikrofilem, mikrofiche, lisan, kaset, video dan banyak lagi.


Manakala sumber maklumat pula boleh jadi daripada manusia, bahan bercetak, bahan digital, bahan artifak, bahan filem, bahan seni, bahan bunyi dan lain-lain.
Kemahiran mencari maklumat bagi setiap bentuk dan sumber ini berbeza pula dan memerlukan teknik yang berbeza juga untuk mendapat hasil yang sepatutnya.
Contohnya untuk mencari bahan digital melalui enjin carian Google, sekiranya seseorang itu memahami konsep asas capaian kembali maklumat atau information retrieval dia akan dapat mencari bahan dengan lebih tepat berbanding orang yang tidak tahu. Begitu juga apabila ingin mencari bahan bercetak di perpustakaan, ada peraturan asas penyusunan buku di perpustakaan yang perlu difahami seperti nombor panggilan dan cara pengelasan bahan.
Termasuk dalam kemahiran mencari maklumat adalah kebolehan kita menduga di mana bahan yang kita kehendaki berada. Ini perlu dipelajari berdikit-dikit melalui pengalaman mencari maklumat yang terdahulu ataupun daripada pembacaan dan penerangan orang lain.
Ada bahan digital yang boleh didapati di Internet, tetapi ada juga bahan yang kita tahu wujud di dunia maya tetapi tidak boleh dicapai kecuali menggunakan kata laluan dan sebagainya. Kita perlu peka dan menyiasat kewujudan bahan itu di tempat kita, mungkin melalui institusi tertentu yang boleh membantu.
Ada juga bahan yang istimewa dan disimpan di tempat khusus dan memerlukan kebenaran khusus untuk menggunakannya seperti artifak atau bahan arkib.
Terakhir sekali adalah kebolehan kita untuk menilai maklumat yang telah berjaya kita cari, dan ini masih lagi merupakan rentetan daripada kemahiran kita mencari maklumat. Kemahiran menilai maklumat ini wajar dibicarakan dalam satu ruangan lain yang akan memberi kesempatan sebuah penerangan yang lebih sempurna.
Semua kemahiran mencari maklumat yang disebutkan di atas ada ditawarkan di pusat pengajian tinggi oleh pihak perpustakaan. Malah di peringkat antarabangsa, kemahiran ini dijadikan suatu subjek wajib bagi setiap fakulti dengan usaha sama antara pensyarah dan pustakawan.
Walaupun masih jarang kedengaran perpustakaan awam di negara ini mengambil daya usaha membuka kelas khas kemahiran mencari maklumat, tetapi ia patut dijadikan satu agenda penting sesebuah perpustakaan.
Melalui cara ini perpustakaan dapat bergerak seiring dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berdepan dan adakalanya terbeban dengan kebanjiran maklumat. Usaha untuk merentas jurang digital dan mengejar kemajuan teknologi negara maju pula harus menjadi agenda penting negara supaya rakyat sendiri tidak tercicir dalam menguasai maklumat, kerana maklumat adalah suatu bentuk kuasa.

No comments:

Post a Comment