Monday, 26 September 2016

BAB 2 ( GAYA PEMBELAJARAN HONEY & MUMFORD )

Model Gaya Pembelajaran Honey & Mumford

    Menurut Honey dan Mumford (1992), pembelajaran telah berlaku apabila manusia boleh mempamerkan sesuatu yang baru, sama ada dalam bentuk pemahaman, kesedaran, kemahiran. Kecenderungan ini termasuklah kecenderungan untuk memiliki pengalaman semasa mempelajari sesuatu, kecenderungan untuk mengimbas kembali, kecenderungan untuk membuat kesimpulan dan kecenderungan memastikan implementasi.
   Selain itu, Honey & Mumford menekankan gaya pembelajaran didefinisikan sebagai penerangan ke atas sikap dan individu yang mengamalkannya. Oleh itu, sikap dan tingkah laku akan menentukan jenis gaya pembelajaran seseorang murid.
     Honey dan Mumford (1983) membahagikan sikap dan tingkah laku kepada 4 kumpulan iaitu:
            1. Aktivis                   3. Teoris
            2. Reflektif                4. pragmatis
    Murid yang mempunyai gaya pembelajaran aktivis merupakan murid yang mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu yang baru dan kehidupan mereka adalah penuh dengan aktiviti yang mencabar supaya dapat memberi pengalaman yang baru  kepada mereka. Selain itu, jenis murid ini mudah membuat sesuatu tanpa memikir panjang kerana mereka tidak akan mengambil kira kesan pada sesuatu perkara. Murid jenis ini dapat bekerja dengan berdikari kerana mereka tidak perlu dorongan daripada orang lain. Pada keseluruhannya, murid jenis ini merupakan seorang yang peramah dan suka bersosial tetapi aktiviti yang dilakukan sering tertumpu pada persekitaran diri sendiri.
    Di samping itu, murid yang mempunyai gaya pembelajaran reflektif berminat dalam mengulas pengalaman dan suka membuat pemerhatian, memikir dan membuat refleksi kendiri terhadap apa yang ada di persekitaran. Murid yang reflektif akan sentiasa mengimbas kembali terhadap keputusan yang belum diambil ataupun telah diambil. Sikap mereka tidak terburu-buru untuk membuat keputusan dan mereka suka mencari hakikat yang sebenar. Selain itu, mereka akan mengumpulkan maklumat yang banyak berkaitan dengan pembelajaran dan membuat analisis pengalaman tersebut. Biasanya, mereka akan kerja dengan sistematik iaitu langkah demi langkah supaya mengelakkan membuat kesilapan. Persepsi dan pengamatan mereka agak tajam dan sensitif. Dengan itu, mereka sering melibatkan diri dalam mata pelajaran Sains yang membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian sendiri dan pemerhatian orang lain.
    Murid yang mempunyai gaya pembelajaran teoris sentiasa memiliki fikiran yang rasional dan logikal. Mereka mudah terangsang dengan teori dan model dan sistem pemikiran yang praktikal atau menerima unsur logik. Selain itu, mereka merupakan golongan yang kurang kreatif dan suka membentuk hipotesis daan mengkaji fenomena yang berlaku di persekitaran mereka.  Pada keseluruhannya, mereka akan sentiasa menggunakan teori untuk membuat kesimpulan serta lebih mementingkan rumusan yang berdasarkan bukti, analisis , kenyataan atau idea yang wujud.
        Murid yang mengamalkan gaya pembelajaran pragmatis memiliki fikiran yang rasional dan logikal terhadap pembelajaran mereka. Mereka hanya pentingkan bukti dan hakikat yang dapat dilihat oleh mereka sendiri. Perbandingan dengan perkara lain juga sering dibuat supaya mereka dapat mencari jawapan yang paling tepat. Selain itu, mereka gemar mencuba idea , teori dan teknik untuk menguji sama ada ia berguna atau tidak dalam situasi yang sebenar. Kebanyakan golongan ini terdiri daripada lelaki yang banyak menggunakan otak kanak yang mementingkan logikal. 

No comments:

Post a Comment